loading

BANK RAKYAT TAWAR LANJUTAN MORATORIUM, BANTUAN BERSASAR


KUALA LUMPUR – Bank Rakyat menawarkan lanjutan moratorium selama tiga bulan kepada pelanggan yang menghadapi kesukaran meneruskan pembayaran pembiayaan mereka selepas tempoh moratorium secara automatik tamat 30 September ini.

Sebagai langkah proaktif, hampir 190,000 akaun pembiayaan berpotensi terjejas telah dikenal pasti dan bank telah mula menghubungi pemilik akaun secara berperingkat.

“Kemudahan bantuan lanjutan yang ditawarkan tersebut adalah khusus untuk pelanggan yang telah diberhentikan kerja pada 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu selain mereka yang diarahkan bercuti tanpa gaji oleh majikan dan berlanjutan sehingga Disember 2020,” menurut Bank Rakyat menerusi kenyataan hari ini.

Ia berkata, bantuan bersasar juga ditawarkan kepada pelanggan yang dikenakan potongan gaji oleh majikan yang mana mereka boleh diberikan pengurangan ansuran selaras dengan kadar pengurangan gaji untuk tempoh minimum selama enam bulan.

Selain itu, Bank Rakyat turut menawarkan bantuan bersasar kepada individu terjejas yang bekerja sendiri atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan memberi fleksibiliti sama ada membayar keuntungan sahaja untuk satu jangka yang ditetapkan atau memanjangkan tempoh keseluruhan pembiayaan bagi mengurangkan ansuran bulanan.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi pihak bank menerusi e-mel ke bankrakyatrnr@bankrakyat.com.my dengan menyertakan sekali nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit untuk dihubungi.

 

Pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Panggilan di talian 1300800800 atau mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berdekatan.

Maklumat juga boleh didapati menerusi laman web korporat di www.bankrakyat.com.my atau laman media sosial rasmi Bank Rakyat, @mybankrakyat di Facebook, Instagram dan Twitter. – Bernam

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/95816/BERITA/Nasional/Bank-Rakyat-tawar-lanjutan-moratorium-bantuan-bersasar

SIARAN AKHBAR

BANK RAKYAT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *