loading

PUNB AGIH PEMBIAYAAN RM80 JUTA


KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) telah mengagihkan pembiayaan berjumlah RM80 juta kepada 120 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada tahun ini.
Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, jumlah tersebut tidak termasuk Pembiayaan Mudah Bumiputera (BRF) berjumlah RM200 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diuruskan PUNB.
“Permohonan untuk BRF ini masih belum dibuka, kami sedang menunggu kelulusan prosedur daripada Kementerian Kewangan.
“Kami menyasarkan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta mengikut keperluan supaya lebih banyak PKS menerima manfaat, selain kadar faedah paling rendah dan mungkin moratorium bayaran balik selama enam bulan, semua ini memerlukan kelulusan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Cellcode, iaitu produk anti oksida dan anti penuaan yang dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini semalam.
Ia mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dibawah kategori ubat tradisional selain memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Align Creative Sdn. Bhd., Mohd. Faizul Khalid selaku pemasar produk dan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin.
Dalam pada itu, Izwan menjelaskan, pihaknya berhasrat untuk mengagihkan pembiayaan berjumlah RM220 juta tahun ini kepada usahawan, tidak termasuk dana BRF.
“Diakui agihan agak perlahan tahun ini impak Perintah Kawalan Pergerakan kerana staf kami perlu turun padang melawat usahawan sebelum pembiayaan dapat diluluskan.
“Bagaimanapun kami mendapat banyak permohonan pada Julai dan Ogos, kami yakin dapat mencapai sasaran ditetapkan tahun ini,” katanya.

Sumber: https://www.kosmo.com.my/2020/08/06/punb-agih-pembiayaan-rm80-juta/

SIARAN AKHBAR

punb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *