Kepemimpinan Islam Sudah Lama Mendukung Integriti

Kepemimpinan Islam Sudah Lama Mendukung Integriti

Kepemimpinan Islam Sudah Lama Mendukung Integriti

Oleh Mohd Prasad Hanif – Julai 16, 2021 @ 10:30am

[email protected]

 

KITA semua berada pada zaman integriti, di mana semua perkara dituntut atau didesak supaya dilakukan secara telus dan terbuka.

 

Dunia diasak supaya jujur, proinsan dan alam serta mengamalkan prinsip moral yang kukuh dalam operasi mahupun pengurusan mereka.

 

Malah, dalam kebanyakan laporan tahunan organisasi, entiti serta institusi kini perlu ada laporan khusus mengenai integriti dan sumbangan balik mereka kepada komuniti serta alam.

 

Ternyata, kini tidak ada ruang untuk ‘berahsia’ kecuali semuanya perlu diketahui dan dikongsi dengan massa. Bagai satu fenomena, semua kegiatan termasuk aktiviti dan perasaan peribadi kini perlu diumumkan sekurang-kurangnya bagi perkongsian dengan netizen yang konon menjunjung integriti, untuk dihakimi.

 

Hari ini, apakah kualiti yang paling berharga dalam kalangan pemimpin politik, peneraju perniagaan ataupun pendukung pergerakan sosial?

 

Secara umum, integriti adalah kepatuhan pada himpunan nilai yang merangkumi kejujuran dan kebebasan daripada penipuan. Namun, integriti juga membawa maksud lebih besar dan luas skopnya daripada kejujuran.

 

Ia menjangkau sehingga kepada maksud melakukan perkara yang betul tanpa mengira keadaan, kesulitan mahupun kesan kepada pemimpin atau organisasi.

 

Dalam kehidupan kebelakangan ini, kita melihat ada pemimpin yang tidak memegang jawatan tetapi bangkit kononnya untuk mempertahankan pelbagai isu rakyat, walaupun rata-rata yang diperjuangkan itu jelas satu manipulasi dan bertentangan prinsip undang-undang atau kemaslahatan rakyat.

 

Sebenarnya, niat mereka bertindak demikian semata-mata untuk meraih kepentingan politik diri sendiri serta segelintir konconya. Kita lihat bagaimana pantas dan cekapnya pemimpin tertentu membangkitkan serta memutarbelitkan sentimen untuk meraih sokongan.

 

Dari soal protes kilang yang membuang sisa toksik sehingga kepada mempertahankan peneroka haram yang menceroboh hutan simpan dan tanah kerajaan.

 

Namun kita lihat, apabila pemimpin dikurniakan kuasa, mereka secara tersendiri memihak kepada perundangan dan sistem keadilan sedia ada. Jadi, adakah mereka jujur?

 

Mungkin mereka jujur kerana tidak mengambil atau memberi rasuah. Namun adakah mereka berintegriti? Jawabnya tidak, kerana apabila situasi berubah, maka prinsip asas iaitu mematuhi undang-undang negara, turut berubah.

 

Yang asalnya mereka dakwa atau katakan rakyat tertindas akibat undang-undang, tetapi akhirnya mereka memihak kepada sistem perundangan terbabit.

 

Seorang pemimpin yang berintegriti mempunyai set nilai dan etika yang tetap atau tidak berubah. Merujuk kepada contoh pemimpin di atas, akur kepada perundangan negara antara etika atau nilai integriti yang juga termaktub dalam prinsip keempat Rukun Negara iaitu Kedaulatan Undang-Undang.

 

Sama ada pemimpin itu memegang jawatan dalam kerajaan atau tidak, prinsip kedaulatan undang-undang tetap tidak berubah. Malah, pemimpin berintegriti tidak akan mengguna pakai atau memanipulasi sentimen dalam kepimpinannya.

 

Realitinya, integriti sudah lama diamalkan kepimpinan kerajaan Islam yang diasaskan Nabi Muhammad SAW dan didukung kalangan sahabat Baginda.

 

Seterusnya prinsip itu disebar luas oleh empat khalifah Islam dan diwarisi kalangan peneraju kerajaan Islam seterusnya sehingga integriti menjadi sendi dalam pembinaan empayar serta tamadun Islam.

 

Memetik contoh, Umar RA yang pernah menyarankan kepada Abu Bakar RA supaya melucutkan jawatan Khalid al Walid RA atas sebab tertentu.

 

Namun Abu Bakar tidak melucutkan jawatan Khalid. Walaupun Khalid mempunyai pengaruh kuat, sentiasa melunaskan tugas dan amanah, memenangi peperangan selain sahabat Rasulullah SAW yang tersohor, Umar tetap melucutkan jawatannya atas sebab sama apabila beliau menjadi Khalifah.

 

Beliau berkata: “Tidak layak ke atas aku sekiranya aku sendiri tidak berbuat apa yang telah aku nasihatkan kepada Abu Bakar”.

 

Inilah contoh situasi yang bertukar, namun prinsip tetap sama dan sentimen tidak memainkan peranan dalam keputusan itu.

 

Pusat Kepemimpinan Kreatif di Greensboro, Carolina Utara, melaksanakan kajian inovatif bagi mengenal pasti sifat atau tingkah laku berkaitan kejayaan ataupun kegagalan pemimpin pengurusan tertinggi sesebuah organisasi.

 

Dalam kajian itu, mereka merumuskan satu perbezaan utama dikenal pasti iaitu pemimpin yang sangat berjaya, sentiasa menunjukkan integriti yang kuat.

 

Sebaliknya, pemimpin yang gagal, jauh lebih cenderung memajukan kerjaya mereka sendiri dengan mengorbankan orang lain.

 

Mereka lebih cenderung mengkhianati kepercayaan atau melanggar janji. Contoh diberikan dalam kajian ini ialah eksekutif yang tidak melaksanakan keputusan seperti dijanjikan. Kesannya, tindakan atau sikap eksekutif itu menimbulkan konflik dan mempengaruhi empat tahap eksekutif yang kecewa di bawahnya.

 

Maka jelas, integriti satu aspek terbesar dalam kepemimpinan hari ini. Sekiranya kita melihat punca kehilangan kepercayaan dalam kalangan rakyat terhadap sesetengah ahli politik, bukan saja kerana mereka korup, tetapi juga kerana nilai prinsip dan etika yang berubah mengikut sentimen semasa atau kepentingan mereka, sehingga mengakibatkan banyak janji tidak dapat dikotakan.

 

Secara ringkasnya, apakah kriteria seorang pemimpin berintegriti? Sekiranya dia mengatakan sesuatu, ia adalah kebenaran yang sahih. Jika menyedari tersalah cakap, dia akan segera membetulkannya.

 

Jika mengatakan mahu melakukan sesuatu, dia pasti akan melakukannya tidak kira apa halangan atau cabaran bakal dihadapi.

 

Justeru, kita sebagai rakyat harus lebih peka terhadap integriti pemimpin dengan sentiasa melihat lebih mendalam prinsip serta etika dalam tindak-tanduk mereka.

 

Apakah mereka mengamalkan nilai etika yang teguh dan jelas dalam semua situasi? Apakah kita faham tindak-tanduk mereka itu berdasarkan prinsip dan nilai etika terbabit?

 

Atau mungkin, pemimpin itu pendukung sentimen – kecenderungan berlebihan kepada sentimen pengikut bagi mengukuhkan lingkungan kuasanya dan berubah apabila kedudukan atau situasi berubah? Anda perlu mencari jawapannya.

 

Penulis adalah Setiausaha Agung Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM)

Share:

More Posts

Subscribe

Stay Up to Date with Our Latest News

Fill in the form below to join our newsletter!