ADFIM
BANK RAKYAT SEDIA PEMBIAYAAN RM200 JUTA BANTU PKS, KOPERASI
KUALA LUMPUR: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menyediakan kemudahan pembiayaan bernilai RM200 juta untuk membantu usahawan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta koperasi menangani masalah kewangan akibat pandemik COVID-19 yang berterusan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kemudahan pembiayaan itu adalah sebahagian usaha Bank Rakyat dalam membantu mengurangkan masalah aliran tunai jangka pendek yang dihadapi usahawan, PKS dan koperasi berikutan kesan COVID-19.
Beliau berkata, kemudahan berkenaan ditawarkan menerusi kempen terbaharu, ‘Bank Rakyat Cares’, yang menumpukan tiga produk iaitu Pembiayaan Berjangka-i untuk usahawan mikro; Pembiayaan Berjangka-i untuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan koperasi; serta Kad Kredit-i.
“Kempen bermula dari 23 Mac sehingga 30 September 2020 itu diharap dapat membantu usahawan dan koperasi mengekalkan kesinambungan perniagaan masing-masing selain dapat melonjakkan semula ekonomi negara sepanjang tempoh yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Bank Rakyat hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed berkata, kempen itu akan memberi manfaat kepada hampir lapan juta pelanggannya termasuk pelanggan Kad Kredit-i yang diberikan diskaun kadar keuntungan sebanyak 50 peratus apabila membuat pengeluaran tunai.
“Menerusi cara ini, pelanggan bukan sahaja mempunyai lebihan tunai malah dikenakan kadar keuntungan lebih rendah daripada kadar keuntungan sedia ada.
“Inisiatif ini membolehkan Bank Rakyat membantu pelanggan kad kreditnya, yang 30 peratus adalah golongan B40, untuk menguruskan keperluan harian mereka,” katanya.
Rosman berkata, inisiatif kemudahan pembiayaan itu adalah sampingan program bantuan kewangan sedia ada Bank Rakyat, termasuk moratorium pembayaran pembiayaan selama enam bulan yang ditawarkan kepada semua individu dan perniagaan yang terjejas akibat COVID-19.
Beliau berkata, usahawan juga boleh memohon Kemudahan Bantuan Khas di bawah tabung Bank Negara Malaysia yang terbuka kepada PKS untuk membantu perniagaan dan isi rumah yang terjejas ekoran wabak COVID-19. – BERNAMA
Share:
Related Posts
PUNB sasar 15 syarikat sertai Program Petronas AutoExpert | BH Online
KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menyasarkan 15 syarikat Rakan Usahawan PUNB dalam bidang automotif untuk menyertai Program Petronas AutoExpert pada tahun ini. Dalam
🌟🤝 Connection and Collaboration!🤝🌟
🌟🤝 Connection and Collaboration!🤝🌟 Yesterday, an exciting luncheon took place! Our very own Secretary General, Mohd Prasad Hanif, and the ADFIM Secretariate had the honour
DFI Green Finance Forum 2023 Speech by Encik Jay Khairil, Chief Executive BSN
Yang Berbahagia Encik Suhaimi Ali Assistant Governor Bank Negara Malaysia, Yang Berusaha Encik Mohd Prasad Hanif Secretary General of ADFIM,Respected Bank Negara Malaysia officials, Distinguished