Bank Rakyat Kenal Pasti 190,000 Pelanggan Terjejas

Bank Rakyat Kenal Pasti 190,000 Pelanggan Terjejas

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat mengenal pasti hampir 190,000 pelanggannya yang berpotensi terjejas dan sudah mula menghubungi mereka secara berperingkat bagi menawarkan lanjutan moratorium.

 

Bank itu dalam kenyataannya berkata, pelanggan yang menghadapi kesukaran meneruskan pembayaran pembiayaan selepas tempoh moratorium secara automatik tamat pada 30 September ini, ditawarkan lanjutan moratorium selama tiga bulan.

 

Setakat ini, ia berkata, lebih 20 peratus pelanggan yang berpotensi terjejas itu sudah pun dihubungi.

 

“Kemudahan bantuan lanjutan yang ditawarkan ini adalah khusus untuk pelanggan yang diberhentikan kerja pada tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan baharu.

 

“Selain itu, ia juga untuk mereka yang diarahkan bercuti tanpa gaji oleh majikan dan berlanjutan sehingga Disember 2020.

 

“Bantuan bersasar juga ditawarkan kepada pelanggan yang dikenakan potongan gaji oleh majikan yang mana mereka boleh diberikan pengurangan ansuran selaras dengan kadar pengurangan gaji untuk tempoh minimum selama enam bulan,” katanya.

 

Mengulas lanjut, Bank Rakyat berkata ia turut menawarkan bantuan bersasar kepada individu terkesan yang bekerja sendiri atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seiring dengan komitmennya dalam memacu kemajuan industri keusahawanan negara.

 

Katanya, ia menawarkan fleksibiliti sama ada dengan membayar keuntungan saja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan atau memanjangkan tempoh keseluruhan pembiayaan bagi mengurangkan ansuran bulanan.

 

“Bagi pelanggan yang berhasrat untuk memohon, mereka boleh berbuat demikian menerusi salah satu saluran komunikasi Bank iaitu e-mel ke [email protected] dengan menyertakan sekali nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit untuk dihubungi, hubungi Pusat Panggilan di talian 1300800800 atau mengunjungi cawangan Bank yang berdekatan.

 

“Pelanggan juga digalakkan untuk melayari laman web korporat di www.bankrakyat.com.my atau laman media sosial rasmi Bank Rakyat, @mybankrakyat (Facebook, Instagram dan Twitter) untuk sebarang maklumat lanjut,” katanya.

Share:

More Posts

Subscribe

Stay Up to Date with Our Latest News

Fill in the form below to join our newsletter!