Pelan strategik Bank Rakyat
Pelan strategik Bank Rakyat

Abdul Aziz (tiga, kiri) ketika majlis menandatangani perjanjian dokumen, kelmarin.

BANK Rakyat menerusi Mumtaz Rakyat Sukuk Berhad, mengumumkan perjanjian dokumen transaksi yang diterbitkan, menerusi Program Sukuk Murabahah Subordinat Tahap 2 patuh Basel III, pada nilai nominal RM5 bilion, berlandaskan prinsip Syariah Murabahah.

Dalam satu kenyataan, Bank Rakyat berkata, Maybank Investment Bank Berhad dilantik Penasihat dan Pengatur Utama bagi program sukuk subordinat itu, manakala AmInvestment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad bertindak sebagai pengurus utama bersama.

“Program ini mempunyai tempoh matang selama 20 tahun. Setiap penerbitan Sukuk Murabahah Subordinat dengan tempoh matang 20 tahun ini, boleh ditunaikan pada tahun kelima daripada tarikh diterbitkan dan tertakluk kepada pilihan dibenarkan Mumtaz Rakyat atau Bank Rakyat, untuk menebus sebahagian atau keseluruhan daripadanya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, pelancaran program sukuk subordinat itu merupakan satu lagi pencapaian bermakna untuk Bank Rakyat apabila ia merupakan program subordinat modal Tahap 2 patuh Basel III yang diterbitkan oleh institusi kewangan pembangunan pertama di Malaysia.

“Selaras dengan strategi Bank Rakyat, penubuhan Program Sukuk Subordinat akan menjadi platform yang strategik sebagai persediaan untuk mematuhi keperluan Basel III,” katanya.

© Copyright 2016 - ADFIM | Association of Development Finance Institutions of Malaysia